Juara Gegar Lawak 2018, kumpulan Kiut akui sudah bersedia untuk menempuh perjalanan sebagai anak seni.

Menurut Hanafi, mereka juga rajin membaca komen-komen yang diberikan oleh netizen menerusi laman sosial tidak kira sama ada negatif atau positif.

“InshaAllah kami dah bersedia, lagipun kami masih baru dan banyak perkara yang perlu kami pelajari.

“Secara jujurnya kami memang baca komen negatif untuk melihat pendapat orang mengenai lawak dan persembahan kami.

“Kecaman memang ada, kita tidak boleh halang mereka untuk berkata-kata tapi kami rasa itu adalah perkara biasa.

“Sewaktu kami berada dalam Gegar Lawak, komen-komen seperti itu yang membina, sebagai contoh bila mereka kata lawak tak best, kami boleh fikir cara untuk memperbaiki persembahan kami.

“Jadi dari situ jugalah kami dapat tahu tentang kelemahan kami.

“Saya tahu tidak mudah untuk berada dalam industri, untuk mendapat peluang seperti ini jadi kami akan lakukan yang terbaik,” katanya sebagai wakil Kiut.

Terdahulu, Kiut telah dinobatkan sebagai juara program Gegar Lawak 2018.

Kemenangan itu sekaligus melayakkan Kiut yang dianggotai oleh Hanaffi, Zam dan Tapai membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 dan trofi.

[BACA: Kiut Menangis Diumum Juara Gegar Lawak 2018, Eyya Mengejutkan!]

Foto: Azrul Rafie

Teks oleh: Mya Amri