Produser yang juga pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri bertindak meminta Finas menangguh tayangan filem Qhaliq untuk memberi laluan kepada filem Dukun yang akan ditayangkan bermula 5 April ini.

Jelasnya, tindakan tersebut dilakukan untuk mengelak situasi pertembungan dua filem tempatan serentak yang boleh mengakibatkan salah satu filem mengalami kerugian.

"Persoalan besar adalah Dukun masuk tayangan pada saat akhir tanpa pemberitahuan pada produser lain.

"Bukan isu takut bersaing tapi kita tidak mahu wujud industri filem berkonfrantasi sesama sendiri," katanya pada sidang media bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Kuala Lumpur, hari ini.



Ahmad Idham memberitahu pihaknya akan menghantar surat kepada Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) esok.

"FINAS sebelum ini mengatakan secara dasarnya tidak salah jika filem itu 'direct deal' dengan pemamer. Namun, mesejnya adalah kami tidak amalkan konfrantasi sesama produser," katanya.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan pula berkata, genre mistik semenangnya diminati ramai penonton tapi aspek pembentukkan pemikiran masyarakat perlu dititikberatkan.

"Saya juga terkejut dan bimbang apabila filem Dukun mendapat klasifikasi tayangan P13 sama seperti Qhaliq," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @astroshaw, qhaliqmovie & Astro Gempak