Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV2) telah membuka tirai menerusi konsert sulungnya pada Sabtu lalu, namun masih ada pertikaian mengenai relevannya pemilihan Awi Rafael sebagai salah seorang peserta kali ini.

Menjawab persoalan terbabit, Awi memberitahu penyertaannya dalam GGV2 merupakan langkah optimum untuk penghijrahannya tahun ini.

"Saya mahu berhijrah daripada segi peribadi dan kerjaya seni, tahun 2018 adalah waktu terbaik buat saya.

"Selepas lagu Manusia Sempurna (duet Ayai Ilusi) dilancarkan, saya mendapat maklum balas yang positif daripada peminat dan meminta agar saya meneruskan perjuangan menghasilkan lagu-lagu bersifat ketuhanan dan kerohanian.

"Insya-Allah dengan menyertai GGV2 saya memperbaharui skop muzik saya termasuk diri saya sendiri," katanya kepada Astro Gempak.

Awi atau nama sebenarnya Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael, 32, menambah penyertaannya dalam GGV2 membuka lembaran baharu untuk mendalami dan menghayati agama Islam.

"Kenalan rapat saya tahu saya pun perlahan-lahan mendekatkan diri dengan lagu yang memuji kebesaran Allah. Saya pun semakin berusia, jadi perlu lebih matang.

"Dengan penyertaan dalam GGV2, saya harap saya mampu memberikan motivasi kepada rakan-rakan seusia atau lebih muda untuk turut sama berhijrah ke arah lebih baik," katanya.

Awi antara peserta GGV2 yang mendominasi kedudukan teratas pada konsert pertama minggu lalu.

Menerusi lagu ciptaannya, Manusia Sempurna yang dilantunkan di pentas pembuka GGV2, ia ternyata menyentuh hati juri terutama Oki Setiana Dewi dengan lirik yang sungguh bermakna.

GGV bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Konsert minggu kedua GGV bakal membawa tema Juk Juk Mendengarnya dan 11 bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert minggu GGV atau ingin mendapatkan segala informasi mengenai GGV, klik ---> GemaGegarVaganza.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @awirafael