Selepas sukses dengan single Aku Cinta duet bersama Syamel, penyanyi Ernie Zakri mengakui dirinya tertekan untuk muncul dengan single seterusnya.

Muncul dengan karya terbaru, Misteri ciptaan Gouffran dan Sang Hitam, Ernie memandang tekanan itu datang dari sudut yang positif.

"Tekanan itu semestinya ada, tetapi ia tidak memberikan sebarang negativiti atau kesan buruk. Sebagai penyanyi, ini merupakan satu tanggungjawab saya untuk peminat dalam menghasilkan karya yang terbaik.

"Tak kisahlah selepas lagu Aku Cinta atau apa-apa lagu yang muncul, setiap penyanyi mempunyai satu tanggungjawab untuk memberikan yang terbaik kepada penggemar muzik mereka.

Tambah Ernie, dia sudah mempersiapkan diri dengan jangkaan peminat yang mahu dia muncul dengan sesuatu yang lebih baik berbanding sebelum ini.

"Selepas muncul dengan Aku Cinta, nama saya semakin dikenali. Aku Cinta juga meraih kejayaan tersendiri. Sudah tentu ada jangkaan daripada peminat yang mengenali saya menerusi Aku Cinta.

"Sejujurnya, saya tidak terbeban dan perkara tersebut membuatkan saya lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik kepada semua peminat setiap kali saya muncul dengan single terbaru atau setiap kali saya muncul menyanyi di hadapan orang ramai," katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Ernie Zakri