Pelakon asal Singapura, Hannah Delisha menafikan dakwaan dia dan pihak pengurusan meletakkan harga tinggi untuk berlakon dalam sebuah drama.

Menurut Hannah atau nama sebenarnya, Hannah Adlina Blackburne Birch, 22, pihak pengurusannya sudah menyelesaikan perkara tersebut dengan pihak produksi.

"Dakwaan itu hanya sekadar gosip. Saya dan pihak pengurusan masih menjalin kerjasama dengan produksi itu untuk beberapa projek lain.

"Pihak pengurusan saya juga sudah berbincang dan bertanya mengenai dakwaan yang timbul, namun mereka juga tidak tahu dari mana datangnya gosip tersebut," kata Hannah.

Mula dikenali menerusi drama bersiri Mencintamui Mr Photographer, Hannah bakal muncul dengan drama bersiri online terbaru, 3 Gadis Manis musim kedua.

3 Gadis Manis musim kedua merupakan karya digital kompak terbitan portal Gempak menerusi segmen Gempak Original Series dan Hannah memegang watak Jo disamping pelakon lain seperti Yaya Zahir, Dee Alhadi, Aedy Ashraf dan Fahad Iman.

"Saya teruja menantikan tayangan 3 Gadis Manis musim kedua kerana ini merupakan pengalaman pertama saya berlakon dalam drama bersiri online. Saya berharap agar peminat menggemarinya," katanya.

Diarahkan oleh Junad M.Nor dan dibantu oleh Nadirah Zakariya, 3 Gadis Manis musim kedua yang ditaja oleh Nivea akan bersiaran sebanyak tujuh episod menerusi platform digital di www.3gadismanis.com.my dan aplikasi Gempak bermula 9 April ini.

Teks oleh: Kamaruddin Razal