Pelawak dan pelakon Vicha Saywho menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa dirinya melakukan pembedahan bagi membuang lemak dalam badan untuk kurus.

Menurut Vicha, dia terkejut dengan dakwaan yang dilemparkan itu dan menjelaskan hanya menjalani pembedahan yang dinamakan 'gastric bypass' untuk menjaga kesihatan selepas mendapatkan nasihat doktor.

"Kira-kira tiga bulan lalu, saya buat ujian gula dalam darah di sebuah hospital swasta dan sangat terkejut apabila mendapati kadar bacaannya sangat tinggi iaitu 20.

"Saya kemudian disarankan untuk buat ujian lengkap seluruh badan dan disuruh berpuasa.

"Seterusnya saya menjadi takut kerana perkara ini bukanlah normal. Saya kemudiannya diperkenalkan dengan seorang doktor pakar dan selepas berbincang disaran ambil ubat selama tiga bulan.

"Saya buat bukan untuk kurus tetapi untuk jaga kesihatan. Saya tak kisah dengan persepsi orang kerana hanya saya tahu masalah dihadapi.

"Banyak pihak fikir saya buat untuk kurus atau kelihatan cantik tanpa tahu apa sebenarnya terjadi pada saya. Mungkin ada yang ingat saya gemuk tetapi sihat namun orang gemuk pasti ada penyakit dan tidak mungkin bebas dari penyakit," katanya.

Sumber: Harian Metro