Pengarah dan pelakon Syamsul Yusof mengakui bersetuju dengan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan produksi Skop Production kelihatan seperti terlalu mencuba dalam menghasilkan sesebuah naskah.

Menurut Syamsul, perkara itu merupakan objektif mereka dalam memberi kelainan dalam menghasilkan filem yang berkualiti pada masa akan datang.

"Bagi saya tiada masalah jika Skop Production terlalu mencuba untuk memberi kelainan kepada filem yang dihasilkan.

"Kita harus mencuba dalam memberikan yang terbaik kerana jika kita tidak mencuba mana kita nak tahu hasilnya baik ataupun tidak.

"Saya tak kisah pun kalau ada yang hadir dengan pandangan begitu kerana itu pendapat masing-masing.

"Cuma satu sajalah fakta yang orang tak boleh nak nafikan, usaha kami, itu yang jelasnya," katanya kepada Astro Gempak.

Syamsul berkata demikian ketika ditemui pada malam gala filem KL Special Force di Mmcineplexes e@curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Selain Syamsul Yusof filem bercorak kepolisan ini turut dibintagi Fattah Amin, Datuk Rosyam Nor, Tania Hudson, Puteri Balqis, Mustaqim Bahadon, Josiah Hogan, Ramona Zamzam, Shaharudin Tambi, Esma Danial dan ramai lagi.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem KL Special Force di pawagam seluruh sekarang.