Pelakon dan penyanyi, Siti Nordiana mengakui pernah menerima lamaran daripada seorang lelaki yang bergelar status suami orang.

Menurut Siti Nordiana atau lebih selesa dipanggil Nana, berkata, sebagai seorang wanita dia tidak mahu menyakiti hati wanita lain apabila berkahwin dengan seorang lelaki berstatus suami orang.

"Memang ada lelaki yang mengajak saya untuk berkahwin namun saya terpaksa untuk menolaknya kerana dia merupakan suami orang.

"Saya tidak mahu melukakan hati wanita yang lain kerana sebagai seorang wanita saya cukup memahami hati golongan hawa ini.

"Saya memang akan mengelak daripada mengenali lelaki yang berstatus suami orang ini dan tidak juga melayan kalau mereka nampak berlebih-lebih.

"Kalau boleh saya tak nak cakap sangat tentang perkara ini kerana risau apa yang dikatakan oleh saya ini akan membuatkan ada pihak yang terasa," katanya kepada Astro Gempak.

Nana berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video lagu terbarunya, Hatiku Milikmu di Flora Terrace, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Nana mempunyai seorang anak lelaki bernama Muhammad Nakhaie Rayyan, 10, hasil perkahwinannya dengan pelakon, Mohd Faizal Yusup.

Mereka bercerai pada tahun 2009, selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.

Bekas suaminya meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2011.