Program pencarian bakat JoHaRockstar telah melabuhkan tirainya dengan menobatkan junior kumpulan Estraged, Amy sebagai juara.

Amy telah menewaskan empat peserta lain iaitu Fazila (Junior Kristal), Acap (Junior Hyperact), Mastura (Junior Khalifah) dan Phillies (Junior Projector Band).

Dengan kejayaan tersebut, anak didik kumpulan Estranged ini secara rasminya merupakan pelajar baru AF2016 yang akan diperkenalkan menerusi konsert AF minggu ketiga yang berlangsung malam nanti.

Mengulas mengenai kemenangannya, Amy atau nama sebenarnya Zahrul Hilmi Badrul Hisam, 23, berkata dia tidak sabar untuk menjalani sesi pembelajaran di Akademi Fantasia.

“Minat dan bakat muzik saya bermula sejak berumur 12 tahun lagi. Sehingga kini saya berusaha mencari platform terbaik untuk memperkembangkan bakat saya.

“Saya yakin bakat saya dalam bidang muzik dapat diasah dengan cemerlang di Akademi Fantasia lebih-lebih lagi dengan bantuan tenaga pengajar yang profesional.

“Sudah pasti saya akan dapat tahu dan terima lebih banyak ilmu berbanding sebelum ini di mana saya hanya belajar sendiri,” katanya.

Dalam pada itu Amy juga berterima kasih kepada Estranged kerana tidak jemu membantunya sehingga bergelar juara.

“Waktu final memang saya kena bersedia dari segi mental dan fizikal. Semua perkara diambil kira termasuklah mutu suara dan juga persembahan.

“Pengalaman saya sebagai seorang busker yang aktif di Kota Kinabalu sedikit sebanyak membantu saya menyiapkan diri ke pentas final.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Estranged atas nasihat dan tips-tips yang diberikan kepada saya.

“Secara jujurnya perkara itu amat membantu dan segala ajaran yang diberikan oleh Estranged saya ambil dan ingat sampai bila-bila,” ujarnya.

Amy yang menyampaikan lagu Tetap Dalam Jiwa nyanyian asal Isyana Sarasvati telah membawa pulang wang tunai berjumlah RM5 000.