Pelakon drama bersiri Tak Ada Cinta Sepertimu, Ruhainies, 26, mengakui dirinya masih belum berjumpa dengan lelaki yang sesuai untuk dijadikan teman hidup.

"Saya masih solo dan tidak mempunyai teman lelaki. Saya masih belum berjumpa dengan teman yang sesuai untuk dijadikan kekasih.

"Buat masa ini, biarlah masa saya dihabiskan dengan kerjaya, perniagaan serta keluarga. Bagi saya, waktu muda ini saya harus gunakan untuk mencari pengalaman serta bekerja untuk kesenangan di masa hadapan," katanya.

Seloroh pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas ini, dia juga merupakan seorang wanita yang mempunyai perasaan kuat cemburu.

"Memang saya belum mempunyai kekasih tetapi sebelum ini saya ada berkawan rapat dengan seorang lelaki untuk mengenali hati budi. Dia bukanlah orang dalam kalangan industri hiburan.

"Kerana sibuk dengan kerjaya, perniagaan dan keluarga, masa yang saya habiskan bersama kawan itu amat terbatas. Sehinggalah pada suatu hari, saya dapat tahu dia ada berkenalan dengan wanita lain.

"Semenjak itu, saya memutuskan untuk tidak lagi meneruskan hubungan rapat dengan lelaki itu. Saya ni kuat cemburu tau," katanya sambil ketawa.

Ruhainies kini muncul dalam slot Megadrama, Tak Ada Cinta Sepertimu yang merupakan naskah adaptasi novel karya Anna Milia.

Selain Ruhainies, drama bersiri 16 episod arahan Jamal Khan ini menampilkan Zahirah Macwilson, Syafiq Kyle, Fadlan Hazim dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan drama bersiri Tak Ada Cinta Sepertimu yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Ruhainies