Penyanyi Aiman Tino mengakui tidak menyimpan perasaan marah apabila ditampar oleh pelakon Fazlina Ahmad Daud.

Menurut Aiman, dia menggangap perkara itu sebagai proses pembelajaran sebagai pelakon dalam menghidupkan watak Kumin dalam drama bersiri, Mak Cun.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk berlakon bersama orang-orang hebat dalam drama bersiri arahan Erma Fatima.

“Pengalaman berlakon ini amat mencabar apabila saya ditampar oleh Fazlina Ahmad Daud kerana sukar menghayati watak untuk membawakan emosi sedih sambil marah.

“Pada awalnya mungkin tindakannya itu membuatkan saya terkejut dan disebabkan itu saya mudah untuk membawakan emosi yang diinginkan pengarah dalam drama ini.

“Saya faham kenapa dia lakukan begitu dan saya tidak marah kerana selepas selesai pengambaran dia ada memohon maaf serta menjelaskan kenapa dia bertindak demikian.

“Saya anggap apa yang terjadi itu sebagai proses belajar untuk saya terus berjaya dalam bidang lakonan,” katanya kepada Astro Gempak.

Aiman berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Mask Run di Wow KL Bistro, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mask Run akan diadakan pada 15 April ini, pada pukul 7.00 pagi di Dataran DBKL, Kuala Lumpur Malaysia.

Selain Aiman Tino, larian itu turut disertai oleh Azza Elite dan Sasha Saidin.