Penyanyi popular, Black mempersoal mengapa bayaran kepada penyanyi berbeza sedangkan artis luar negara sanggup dibayar sebanyak RM1 juta.

Akuinya, masalah bayaran tidak sama daripada penganjur memberi kesan pada pendapatan penyanyi tempatan itu sendiri.

Malah, lebih memeritkan apabila artis luar negara menerima bayaran lebih lumayan tanpa kawalan daripada pihak kerajaan.

Begitupun, kemunculan penyanyi baru selepas popular dan menjadi viral di YouTube turut dipersoalkan selepas mereka mendapat publisiti meluas di stesen radio dan televisyen.

Black menyuarakan pandangan sebagai artis generasi Y pada sesi Kluster Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

Presiden Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez yang menjadi moderator majlis menyatakan kehadiran artis luar negara yang dibayar tinggi ke negara ini atas faktor bisnes selain permintaan dan penawaran.

"Peminat sanggup bayar harga tiket RM800 untuk menonton konsert artis luar tetapi apakah peminat kita juga sanggup bayar jumlah yang sama untuk artis tempatan.

"Ada baiknya artis tempatan mempertingkatkan karya mereka sehingga mencapai standard bayaran RM1 juta sama seperti artis luar," katanya.

Pertemuan yang diatur GAFIM ini membuka ruang pada artis tidak kira pelbagai cabang seni untuk menyampaikan masalah, cadangan kepada kerajaan.

Menariknya, sesi kluster ini diwujudkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan mesyuarat khas bersama GAFIM untuk membantu penggiat seni tanah air.

Presiden GAFIM, Datuk Malek Radzuan Saharin pula berkata, satu perjumpaan bersama TPM yang diadakan sebelum ini bersama 19 wakil persatuan dan memberi 38 resolusi untuk memperbaiki industri seni.

"Kami menerima lebih 100 resolusi tetapi kami mahukan suara orang muda kali ini," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @black.hanifah & allkpop