Penyanyi Aiman Tino mengakui bersetuju dengan pendapat Ismail Izzani, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukanlah penentu kejayaan seseorang dalam hidup.

Aiman atau nama sebenarnya Muhammad Aiman Yusri, 20, berkata, SPM merupakan permulaan perjalanan hidup seseorang selepas tamat pengajian di sekolah.

"SPM itu sebenarnya penting juga untuk digunakan sebagai sijil untuk meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

"Tapi tidak semestinya orang yang tidak memilik SPM tidak boleh berjaya kerana setiap kejayaan itu bergantung kepada usaha yang dilakukan oleh sesorang itu.


"Ramai sahaja rakan saya yang tidak menghabiskan pelajaran namun kini sudah berjaya memiliki perniagaan sendiri malah mereka lebih berjaya daripada orang lain.

"Saya bersetuju dengan Ismail Izzani kerana tidak semestinya dia tidak ada SPM hidupnya akan gagal kerana bagi saya Ismail mesti ada perancangan untuk memajukan dirinya pada masa akan datang," katanya kepada Astro Gempak.

Aiman berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Mask Run di Wow KL Bistro, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Mask Run akan diadakan pada 15 April ini, pada pukul 7.00 pagi di Dataran DBKL, Kuala Lumpur Malaysia.

Selain Aiman Tino, larian itu turut disertai oleh Azza Elite dan Sasha Saidin.