Penyanyi Awi Rafael mendedahkan dia telah mencipta sebuah lagu berjudul Rahasiaku didedikasikan untuk tunangnya, Atikah Suhaime.

Kata Awi, lagu itu bakal dimuatkan dalam album terbaharunya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

"Saya mencipta lagu itu ketika sedang mengenali Atikah, kalau dulu ia menjadi sebuah rahsia namun tidak lagi sekarang," katanya kepada Astro Gempak.

Album yang akan memuatkan lapan buah lagu terbaharu ciptaan Awi dan kolaborasi bersama beberapa penyanyi terkenal tempatan itu akan menjadi kemunculan semula Awi selepas empat tahun.

"Tahun 2018 merupakan tahun hijrah saya daripada segi personal dan muzik.

"Akan ada sebuah lagu baru berjudul Ini Semua Dunia selepas lagu Manusia Sempurna mendapat sambutan positif peminat," katanya mengulas lanjut mengenai album Euforia.

Awi dan Atikah mengejutkan ramai apabila mendedahkan status perhubungan mereka menerusi sebuah majlis pertunangan yang berlangsung di Singapura dua minggu lalu.

Pasangan itu berkenalan sejak lapan tahun lalu sebelum mulai serius lima bulan lalu.

Sementara itu, Awi bakal berentap dalam rancangan realiti nasyid Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV2) yang akan mula bersiaran pada Sabtu ini (31 Mac 2018).

Selain Awi, 10 peserta berkumpulan dan solo lain yang menyertai GGV2 ialah Brothers, Devotees, InTeam, Mestica, Rabithah dan Heliza serta Hazwani (pasangan duo) serta Adeep Nahar, Farah Asyikin, Fitri Haris dan Ippo Hafiz.

GGV2 akan disiarkan secara langsung selama tujuh minggu dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135) jam 9 malam bermula 31 Mac ini.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @awirafael