"Saya tidak pernah berkahwin atau merahsiakan status diri sejak kami mula berkawan," akui Mohamed Hafiz Badiuzzaman, bekas calon suami personaliti popular, Fara Fauzana.

Hafiz turut menegaskan hanya Fara mengetahui punca perkahwinan mereka dibatalkan.

“Dia (Fara) saja yang tahu mengapa perkahwinan ini dibatalkan. Jangan tanya saya, kalau nak tahu perkara sebenar, sila bertanya kepada dia sendiri.

“Saya ingin menjelaskan, ketiadaan saya sewaktu majlis pengumuman perkahwinan tersebut adalah untuk melindungi privasi keluarga saya dan keputusan itu juga dipersetujui oleh Fara sendiri,” jelasnya menerusi kenyataan media kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Hafiz mengakui turut tertekan dengan perkara yang berlaku kerana boleh merosakkan nama baiknya.

“Saya akui sedikit tertekan dengan hal ini kerana berita-berita tidak benar mengenai diri saya telah tersebar.

“Perkara ini juga menganggu emosi saya selain boleh merosakkan reputasi saya sebagai seorang ahli peniagaan.

“Tipulah kalau saya tidak terkesan dengan pembatalan majlis perkawinan ini, saya mohon diberi ruang seketika untuk kembali seperti biasa,” ujarnya.

Terdahulu, bekas penyampai radio Fara Fauzana telah mengumumkan pembatalan majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung pada 17 September ini Ahad lalu.

Keputusan tersebut dibuat atas sebab-sebab peribadi yang tidak boleh dikongsi olehnya.