Pengarah filem terkenal, Aziz M Osman membuktikan hasil kerja orang lama sepertinya masih diiktiraf apabila meraih anugerah di peringkat antarabangsa.

Biarpun penonton lebih mengingati karya Aziz menerusi filem XX-Ray yang pernah ditayangkan pada tahun 1992 iaitu kira-kira 26 tahun lalu tetapi perjuangan seninya tetap berterusan.

Perkembangan terbaru apabila salah satu drama arahannya berjudul, Anak Merdeka memenangi anugerah kategori Filem Kesedaran Sosial Terbaik pada Festival Filem Tamil Norway di Oslo, Norway.

Jelasnya, drama kurang mendapat sambutan ketika disiarkan pada penonton tahun lalu tetapi beliau mengharapkan pencapaian itu memberi semangat pada produser lain menerbitkan drama genre kenergaraan.

"Saya tidak salahkan penonton yang lebih meminati karya ringan, tetapi sebagai karyawan, kita tidak seharusnya berputus asa," katanya.

Ujarnya, kejayaan ini memberi kepuasan pada dirinya dalam berkarya apatah lagi drama tersebut dihasilkan menerusi tanggungjawab sosial.

Dalam pada itu, Aziz memberi galakan pada produser lain agar lebih berani menghasilkan drama yang mempunyai kualiti seperti filem.

Teks oleh: Elrafaei Sapi
Sumber: Berita Harian
Foto: IG @azizmosman