Penyanyi kelahiran Singapura, Awi Rafael mendedahkan dia mengenali Atikah Suhaime sejak lapan tahun lalu ketika masih bercinta dengan Hanez Suraya.

Kata Awi, 32, perkenalan awal pada mulanya sekadar teman industri sehingga menjadi lebih erat sejak lima bulan lalu.

"Pada mulanya saya hanya memanggilnya 'Adik', kemudian bertukar menjadi 'Kakak' dan sekarang 'Tunang' saya pula.

"Fasa lapan tahun itu memang tempoh yang panjang dan kami masing-masing sudah melalui pelbagai perkara.

"Ketika saya masih bersama Hanez Suraya lagi kami sudah berkenalan antara satu sama lain namun lima bulan lalu menjadi fasa paling akrab antara kami berdua.

"Justeru, kami mengambil keputusan untuk melangkah ke peringkat selanjutnya," katanya kepada Astro Gempak.

Awi ditemui pada majlis sidang media Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV2) di Hotel Istana, Kuala Lumpur semalam.

Pasangan Awi dan Atikah mengejutkan umum apabila mendedahkan mereka telah selamat bertunang pada Sabtu lalu di Singapura.

Pasangan itu bakal berkahwin pada 15 Mac 2019.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @awirafael