“Tak Ada Kena Mengena Dengan Kisah Hidup, Sembunyi Hanya Tajuk Lagu” – Adira

Hiburan
“Tak Ada Kena Mengena Dengan Kisah Hidup, Sembunyi Hanya Tajuk Lagu” – Adira
Penyanyi Adira menjelaskan single barunya, berjudul Sembunyi tidak ada kena mengena dengan kisah hidupnya.
 
Kata Adira, lagu tersebut mengisahkan tentang sepasang kekasih yang telah berpisah dan tiada jodoh tetapi masih menyayangi antara satu sama lain secara diam-diam atau secara sembunyi.
 
“Tidak ada sembunyi dari sesiapa pun, itu hanyalah tajuk sahaja dan lagu pun hasil ciptaan Alif
 
“Secara jujurnya tidak ada kena mengena dengan diri saya. Jika orang yang mendengarnya mempunyai pandangan sendiri, terpulanglah,” ujarnya ketika ditemui Astro Gempak
 
Bercerita mengenai single berkenaan, Adira memberitahu dia menyukai lagu tersebut kerana melodinya yang unik.
 
“Bagi saya setiap lagu yang saya rekod mempunyai cabaran tersendiri dan untuk lagu ini mungkin cabaranya lebih kepada mencari lagu mengikut trend zaman kini.
 
“Sebelum melakukan proses rakaman, saya telah pun mendengar beberapa karya dan akhirnya tertarik dengan ‘Sembunyi’ kerana melodinya yang unik selain mahukan sesuatu yang segar dan lari dari kebiasaan,” jelasnya.
 
Dalam pada itu, Adira memberitahu dia enggan terpalit dengan kontroversi dan mahu memberikan fokus terhadap kerjayanya tahun ini.
 
“Perancangan 2018 saya adalah untuk fokus pada kerjaya, saya syukur kerana menjadi sebahagian daripada keluarga besar Rocketfuel Entertainment yang banyak membantu serta melancarkan kerjaya saya sekarang.
 
“Walaupun saya ini adakalanya sedikit degil, namun mereka tetap bersama saya dan tidak mahu mensia-siakan kepercayaan mereka kepada saya.
 
“Kalau boleh saya juga mahu bersih daripada sebarang kontroversi tetapi kita tidak tahu nasib kita di masa akan datang,” katanya.
 
Lagu Sembunyi boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan.
 
Lagu ini juga boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.
 
Video lirik dan muzik lagu Sembunyi ini juga boleh di tonton di saluran Youtube Rocketfuel Network.



Teks oleh: Mya Amri
 
 

Artikel Berkaitan