‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ melakar sejarah apabila berjaya mencatatkan rekod pecah panggung dengan kutipan RM1.4 juta dalam masa 10 hari ditayangkan di pawagam-pawagam terpilih seluruh negara.

Rekod itu sekaligus menjadikan ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ merupakan konsert animasi pertama di layar perak hari ini.

Selain itu ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ juga disenaraikan sebagai salah sebuah filem di bawah kategori ‘Top 5’ paling laris semasa dua hari pertama penayangan, sebaris dengan filem-filem ‘box office’ lain seperti ‘Tomb Raider’, ‘KL Special Force’, ‘Black Panther’ dan ‘A Wrinkle in Time’.

‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ menyaksikan penglibatan permata hati negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mendendangkan lagu bertajuk ‘Oh Nana’.

Selain Siti, turut membuat penampilan istimewa adalah penyanyi Tomok yang mempersembahkan lagu ‘Tayar Bas’.

Melalui konsert ini, penonton akan dihiburkan selama 80 minit dengan persembahan 30 buah lagu di mana 17 daripadanya merupakan lagu baharu, tujuh buah lagu hit yang telah melonjakkan jenama Didi & Friends dan enam buah lagu yang telah diberi nafas baharu.

Bagi pengalaman tontonan yang lebih santai, semua pawagam TGV yang menayangkan ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ mempunyai set mesra kanak-kanak atau ‘Family Friendly’ di mana efek pencahayaan yang digunakan adalah lebih terang (bagi menarik perhatian kanak-kanak), mempunyai kemudahan menukar lampin bayi dan memberi kebebasan kepada penonton cilik untuk bergerak aktif (menari dan menyanyi) semasa menonton konsert.

Terdahulu, ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ membuka tirai pada 10 Mac lalu dengan 34 buah pawagam TGV Cinemas di seluruh negara, termasuk di The Mall, Brunei.

Minggu kedua penayangan konsert itu menyaksikan pertambahan 27 lagi pawagam termasuk GSC, MM Cineplex dan MM2 menjadikannya sebanyak 61 buah pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’, sila layari www.facebook.com/didiandfriends