Pelakon muda, Datin Elvina Mohamad belum merancang untuk berbulan madu selepas selamat diijabkabulkan semalam.

Kata Elvina, 23, jadua dia dan suaminya terlalu padat dan tiada waktu yang sesuai untuk berbulan madu.

"Selepas majlis resepsi kami minggu hadapan saya hanya ada lima hari cuti, kemudian akan masuk ke set penggambaran.

"Jadi belum ada masa yang sesuai untuk kami berbulan madu.

"Malah, lokasi pun tak tahu nak pergi mana," katanya kepada Astro Gempak.

Elvina atau nama sebenarnya Norzalina Mohamad telah selamat bernikah dengan usahawan permotoran, Datuk Haniff Borhan semalam.

Majlis penuh bersederhana itu dilangsungkan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur dan hanya dihadiri oleh 150 jemputan.

Majlis resepsi pasangan itu akan diadakan pada 24 Mac di lokasi sama.

Elvina dan Haniff berkenalan sejak dua tahun lalu dan mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga tiga bulan lalu.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @elvinamohamad