Mustika hati rakyat Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah selamat melahirkan bayi sulungnya di sebuah pusat perubatan Kuala Lumpur pada pukul 8.17 pagi tadi.

Siti, 39, selamat melahirkan bayi seberat 3.55 kilogram secara pembedahan.

Khabar gembira itu dimaklumkan sendiri oleh pengurus peribadi beliau, Rozi Abdul Razak menerusi kenyataan rasmi di media sosial.

"Siti dan bayi berada dalam keadaan baik dan buat masa ini hanya membenarkan kaum keluarga terdekat saja untuk melawat," tulisnya.

Pasangan ini memilih hari Isnin untuk kelahiran anak pertama mereka kerana bersamaan dengan hari kelahiran Nabi Muhammad S.A.W selain jatuh pada tarikh 1 Rejab.

Suami beliau, Datuk Sri Khalid Mohamad Jiwa melahirkan rasa syukur kerana segalanya telah selamat.

"Apa yang penting bagi beliau adalah proses melahirkan berjalan dengan baik, isteri dan anaknya juga sihat," tambahnya.

Siti dan suami juga mengucapkan terima kasih di atas doa dan sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan, peminat dan juga pihak media sejak dari awal kehamilan sehinggalah melahirkan.

"Buat masa ini Siti mahu diberi ruang untuk berehat dan menumpukan perhatian pada hari-hari awal bergelar ibu.

Mengenai wajah dan nama anak, Siti dan Khalid meminta diberi sedikit masa sebelum mengumumkannya.

Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: IG @ctdk