Penyanyi Tomok meminta peminat untuk mendoakan kesihatan bapanya yang diserang strok sejak empat bulan lalu.

Baca: Ayah Kena Strok, Tomok Minta Peminat Turut Berdoa

Kongsi Tomok menerusi akaun Instagramnya, dia merindui keletah bapanya dan inginkan suasana ceria ketika bapanya masih sihat.

"Dalam masa empat bulan ini hanya beberapa minggu sahaja ayah di rumah, selebihnya berada di hospital.

"Masa awal kena strok dulu ayah masih boleh bercakap, kenal orang dan sebagainya.

"Tapi sekarang hanya pandangan kosong diberikan...

"Walaupun agak sukar untuk mendapat kembali ayah saya yang dulu, tapi tiada yang mustahil. Semoga dipermudahkan urusan kami sekeluarga.

"Cepat sembuh ayah... Tomok rindu nak cakap dengan ayah. Doakan ayah saya cepat sembuh ya sahabat semua," tulis Tomok bersama sekeping foto bapanya duduk di kerusi roda.

Bapa kepada bekas vokalis kumpulan New Boyz itu dimasukkan ke hospital di ibu kota pada 13 Disember tahun lalu akibat serangan strok.

Keadaan itu menyukarkan pergerakan sebelah badan hingga ke kaki kanan bapanya selain mengganggu percakapannya.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @tomokofficial