"Menyanyi Sekadar Nak Berhibur, Bukan Nak Menang Anugerah Pun" - Nur Sajat Muncul Dengan Makhluk Penggoda

Hiburan

Usahawan kosmetik dan barang kemas, Nur Sajat kini muncul dengan single solo berjudul Makhluk Penggoda.

Selepas membuat penampilan istimewa dalam single solo Datuk Seri Aliff Syukri, Abang Nak Tegur, Sajat mengorak langkah penuh yakin dalam dunia nyanyian.

"Alhamdulillah, saya bersyukur single Makhluk Penggoda kini telah siap dan bersedia untuk didengari oleh peminat saya.


"Saya menghasilkan single hanya sekadar ingin berhibur dan memeriahkan industri hiburan. Saya menyanyi bukan untuk menang anugerah pun, semuanya sekadar suka-suka dan saya ingin mendapatkan pengalaman baru," kata Sajat.

Dalam single ciptaan Aepul Roza dan Iman Imran ini, Aliff turut menyumbangkan suaranya dan membuat penampilan istimewa.

Dalam perkembangan lain, Sajat ini muncul dalam program realiti terbaru yang berjudul Nur Sajat Rated Xtra.

Menerusi rancangan berkonsepkan vlog dan bersiaran sebanyak 30 episod ini, Sajat memaparkan perjalanan kehidupan sehariannya sebagai usahwan kosmetik.

"Menerusi vlog berdurasi 7 minit tersebut, kehidupan saya dirakamkan dan semuanya berlaku secara spontan dengan tidak menggunakan sebarang skrip.

"70 peratus kandungan program ini berkisar mengenai cara saya mengendalikan perniagaan manakala selebihnya akan menampilkan sisi peribadi saya," katanya lagi.

Nur Sajat Rated Xtra sudah bersiaran sejak 28 Februari lalu dan episod baru boleh disaksikan pada setiap Rabu dan Khamis di portal Tonton.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Sajat

 

Artikel Berkaitan