Anda ingin menyerlahkan bakat dalam bidang nyanyian? Teringin nak jadi penyanyi yang mempunyai single sendiri?

Stesen radio ERA membuka peluang untuk anda merealisasikan impian menerusi media sosial dengan menyertai Cover Star ERA!

Cover Star ERA yang bakal dijalankan bermula 2 April secara eksklusif di laman sosial dan peserta-peserta akan bertanding antara satu sama lain untuk mempersembahkan lagu cover terbaik mereka.

Peserta yang berminat haruslah memilih salah satu lagu dari senarai lagi-lagu yang disediakan dan harus menyampaikan lagu cover mereka secara kreatif atau disampaikan bersama alat muzik pilihan mereka.

“Fenomena lagu cover semakin menjadi trend di laman sosial. Kami sering melihat muzik hit terkini disampaikan semula dan disusun oleh penyanyi-penyanyi cover dengan citarasa tersendiri.

“Penerimaan hangat terhadap lagu cover membuktikan penyanyi laman sosial mempunyai potensi dan bakat tersendiri untuk diketengahkan.

“Cover Star ERA akan menyerlahkan lagi bakat mereka! Suara yang merdu, originaliti serta kreativiti akan mengangkat bakat mereka.

“Pemenang tidak akan menerima hadiah wang tunai tetapi pemenang akan dapat merakamkan sebuah single bersama syarikat rakaman,” kata Pengurus Kandungan ERA, Dhan Andreas.

Pendaftaran penyertaan bermula dari 2 April sehingga 13 April 2018. Video berdurasi satu minit perlu dimuat naik di laman Instagram dengan menggunakan hashtag #CoverStarERA.

Dibuka kepada semua warga Malaysia, peserta harus menetapkan akaun Instagram mereka secara umum (public) bagi membolehkan penyertaan mereka ditonton para juri.

Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai kempen terbaru ERA, layari laman web www.era.je atau kunjungi laman sosial Facebook, Instagram dan Twitter ERA.

Teks oleh: Kamaruddin Razal