Pelakon dan usahawan popular Rozita Che Wan menyelar tindakan segelintir wanita perampas suami orang.

Kata Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, dia tidak menyalahkan golongan lelaki sekiranya mereka mengambil keputusan untuk berpoligami.

"Saya anti perampas suami orang! Sebenarnya perempuan sendiri yang menghancurkan hidup perempuan lain!

"Kita tidak boleh menghalang lelaki daripada berkahwin dengan wanita lain namun sebagai wanita kita boleh menghalang diri daripada berkahwin dengan suami orang.

"Ada ramai lagi lelaki bujang, kenapa perlu rampas suami orang?

"Namun, jangan salah anggap. Kenyataan saya ini tidak bermakna saya menolak poligami," katanya kepada Astro Gempak.

Che Ta ditemui pada majlis perlantikannya sebagai duta Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, hari ini.

Che Ta turut menasihati wanita yang dimadukan atau dirampas wanita lain untuk 'move on' dan meneruskan kehidupan.

"Past is past! Anggap sahaja jodoh dengan suami anda setakat itu sahaja.

"Allah mahu berikan yang lebih baik untuk kita. Mungkin dia bukan yang terbaik untuk kita," katanya yang pernah berdepan situasi penceraian suatu ketika dahulu.

Che Ta pernah memuat naik sekeping entri di Instagram yang menyindir golongan wanita merampas suami orang.

Dalam perkembangan sama, Che Ta telah menandatangani kontrak selama dua tahun bersama syarikat hartanah berkenaan.

Teks oleh: Amri Hassan