Penyanyi rap terkenal Altimet akui pelakon lagenda Bruce Lee merupakan cetusan inspirasinya untuk menghasilkan album solo keempat berjudul Air.

Menurut altimet, Bruce Lee merupakan idolanya sejak kecil.

"Cetusan inspirasi untuk album kali ini, adalah dari idola saya sejak kecil iaitu Bruce Lee dengan mutiara kata tersohor beliau,”Be Like Water” yang bermaksud sifat air yang apabila mengalir akan mengikut sebarang bentuk bekas.

“Mutiara kata itu memberikan saya dorongan untuk membuat eksperimen di mana saya menyesuaikan lirik saya ke dalam muzik yang telah dicipta oleh penggubah lagu-lagu di dalam album ini.

“Cabaran ini telah menunjukkan versatiliti dan saya harap peminat saya dapat menerima kelainan yang ingin kami tonjolkan" katanya.

Air yang merupakan hasil kolaborasi Altimet bersama beberapa penggubah lagu tersohor dan juga penggubah baru seperti Omar K, Navigator, Emir Hermono, Kidd Santhe, dan Music Kitchen.

Hasil kolaborasi mereka telah memberikan nafas segar kepada album ini tetapi masih mengekalkan gaya tersendiri Altimet.

Album ini bakal memuatkan enam buah lagu yang dipersembahkan oleh Pekin Ibrahim, Faizal Hussein, Baraka Blue, Kidd Santhe, Ashtin dan Aina Abdul.

Album edaran Warner Music Malaysia ini boleh didapati secara pra-tempahan di iTunes mulai 9 Mac 2018 dan akan berada di semua platform digital mulai 30 Mac 2018.

Peminat juga akan dapat memperolehi album fizikal ‘Air’ yang direka eksklusif oleh Kongsi Design akan berada di pasaran di seluruh negara mulai 1 April 2018.

Untuk sebarang maklumat lanjut sila layari www.altimet.com.my.

Terdahulu. Altimet baru sahaja menggegarkan pentas Anugerah Juara Lagu-32 dan dinobatkan sebagai pemenang Persembahan Terbaik menerusi lagu ‘Amboi’.

Foto: Instagram @altimet