Pelakon dan penyanyi Elly Mazlein menafikan andaian sesetengah pihak yang mendakwa payudaranya kelihatan semakin montok kerana menjalani pembedahan.

"Saya mempunyai anak yang masih menyusu badan. Payudara saya asli dan saya tidak pernah menjalani sebarang pembedahan untuk membesarkannya.

"Kalau ada mana-mana pihak membuat perbandingan, sudah tentu ia berbeza kerana dahulu saya menyandang status sebagai anak dara, kini saya bergelar ibu tunggal kepada seorang anak.

"Dakwaan yang mengatakan saya menjalani pembedahan untuk membesarkan payudara adalah tidak masuk akal. Tapi terpulang apa orang nak cakap, apa yang penting saya gembira dan bersyukur kerana anak saya diberikan rezeki susu badan yang banyak," kata Elly ketika dihubungi oleh Astro Gempak.

Dalam pada itu, akaun laman sosial Instagram milik Elly telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Laman Instagram Elly yang menggunakan nama @iamellymazlein mempunyai pengikut seramai 667,000 pengguna.

"Saya menyedari Instagram saya digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab beberapa hari lalu. Saya masih cuba untuk mendapatkan semula akaun Instagram tersebut.

"Buat masa ini, saya menggunakan akaun Instagram baru iaitu @ellymazlein_official. Sejujurnya, saya rasa sedih kerana bukan mudah untuk menghimpunkan pengikut seramai lebih setengah juta pengguna.

Mehhhh follow ig kakak lina yg baru ni ya .. muahhhhh cikit???? . #viral #malaysia #bh #berita #utusanmalaysia #kosmo #metro #astro #tv3 #rtm #ntv7 #mediaprima

A post shared by Kakak Lina Pom Pom (@ellymazlein_official) on


"Instagram juga merupakan salah satu platform untuk saya memperkenalkan produk nyanyian, lakonan serta perniagaan yang saya usahakan. Saya juga sering berinteraksi dengan peminat tersayang menerusi laman Instagram.

"Saya berharap agar akaun tersebut boleh saya miliki semula dan sementara menantikan perkara tersebut terjadi, peminat boleh melihat perkembangan semasa saya di akaun @ellymazlein_official," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Elly kini menggalas tugas sebagai pengacara untuk rancangan realiti Mentor Otai yang bakal bersiaran tidak lama lagi.

"Alhamdulillah, peluang demi peluang datang tanpa putus. Saya anggap ini rezeki anak saya. Bidang pengacaraan sesuatu yang asing untuk saya tetapi Insya-Allah, saya akan cuba sedaya upaya untuk menghiburkan penonton," katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Elly