Pelakon jelita Zahirah Macwilson mahu memberikan fokus terhadap kerjaya lakonan selepas sering terpalit dengan kontroversi.

“Lebih tiga tahun saya terlibat dalam industri hiburan, nama saya sering dikaitkan dengan gosip cinta, kisah perceraian ibu bapa serta kontroversi lain.

“Sempena kedatangan tahun baru ini, saya mahu berhenti memperkatakan mengenai kontroversi dan ingin membuka lembaran baru.

“Saya akui serik apabila nama saya terpalit dengan kontroversi. Jadi, saya mahu fokus dengan kerja dan selepas ini, saya lebih berhati-hati jika mahu berkongsi mengenai perkara yang melibatkan peribadi,” kata Zahirah.

Bakal muncul dalam drama bersiri Tak Ada Cinta Sepertimu, naskah tersebut merupakan karya adaptasi novel nukilan Anna Milia.

“Drama bersiri ini menjadi karya sulung yang menggandingkan saya bersama Syafiq Kyle sebagai teraju utama.

“Selepas Duda Pujaan Dara, Tak Ada Cinta Sepertimu ini merupakan drama bersiri kedua saya yang bersiaran dalam slot Megadrama. Saya tak sabar menantikan reaksi peminat,” katanya lagi.

Diarahkan oleh Jamal Khan, drama bersiri 16 episod ini turut menampilkan Ruhainies, Fadlan Hazim, Zainol Macwilson dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan drama bersiri Tak Ada Cinta Sepertimu yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) bermula malam ini (12 Mac).

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Zahirah