Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyeru rakyat Malaysia khususnya generasi muda yang meminati sukan terutama badminton supaya menonton filem 'Lee Chong Wei: Rise of the Legend'.

Menurut Khairy, filem ini bukan sekadar untuk ditonton tetapi mampu menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia yang ingin menjadi pemain badminton terbaik.

"Chong Wei pernah beritahu saya, bahawa bakat sahaja tidak cukup untuk berjaya.

"Menurut Chong Wei semua atlet di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ada bakat tapi apa yang buat dia terbaik adalah kesediaannya untuk bekerja lebih keras dan keinginan untuk jadi yang terbaik.

"Malam ini (semalam) kita saksikan kisah seorang lagenda tanahair, kisah hidup seorang wira Malaysia yang akan beri inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Chong Wei telah menjadi hero kepada Malaysia dan kisah mengenainya akan menjadi bualan pada generasi akan datang," katanya.

Khairy berkata demikian ketika hadir pada majlis tayangan perdana sedunia filem Lee Chong Wei di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Jumaat.

Pada malam tersebut, filem yang berkisarkan tentang kisah hidup pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records dan Asia Book of Records.

Tayangan perdana yang julung kali diadakan itu dicatatkan dalam The Malaysia Book of Record dan Asia Book of Records sebagai tayangan perdana filem yang bukan sahaja terbesar di Malaysia malah di peringkat Asia.

Filem Lee Chong Wei juga telah menerima satu lagi anugerah daripada The Malaysia Book of Record iaitu paparan skrin terbesar LED berukuran 40 meter X 17 meter.

Seramai 20,000 orang dalam dan luar negara telah menyaksikan tayangan sulung filem Lee Chong Wei, Menjulang Kejuaraan versi tambahan berdurasi 133 minit.