Bakal menyambut ulang tahun ke-10 dalam bidang seni, pengacara Nabil Ahmad mahu membawa peminatnya menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah.

Bakal menunaikan ibadah tersebut pada awal Ramadan tahun ini, Nabil ingin berkongsi rezeki dengan peminat yang tidak pernah berhenti menyokong kerjayanya semenjak bergelar juara Raja Lawak musim kedua.

"Masih segar dalam ingatan ketika saya mula melangkah dalam bidang seni pada tahun 2008. Alhamdulillah, tahun ini sudah sedekad saya mencari rezeki dalam bidang hiburan.

"Sebagai penghargaan kepada peminat yang selama ini tidak henti menyokong semenjak hari pertama saya melibatkan diri dalam bidang hiburan, saya mahu bersama-sama berkongsi rezeki.

"Saya mahu memberikan penghargaan ini dengan mengerjakan Umrah bersama peminat dan berpuasa bersama-sama di Mekah. Untuk mereka yang berminat, boleh menghubungi 019-3716252 dan melayari laman Facebook dan Instagram dengan menggunakan kata kunci @myumrahstory," kata Nabil.

Tambah pengacara rancangan MeleTOP ini, butiran lanjut mengenai program tersebut bakal didedahkan ketika majlis meraikan ulang tahun ke-10 penglibatannya dalam bidang hiburan yang akan berlangsung pada 24 Mac depan

"Pastinya ramai yang tertanya, adakah saya akan membawa peminat secara percuma atau ada kos bayaran. Perkara itu akan saya umumkan di majlis tersebut.

"Buat masa ini, kepada peminat yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai 'hadiah' yang saya ingin berikan, boleh hubungi nombor tersebut," katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Nabil kini sedang sibuk menggalas tugas sebagai pengacara untuk rancangan Ceria Megastar.

Ceria Megastar menghimpunkan 18 peserta terbaik daripada Ceria Popstar, Ceria All Stars, Ceria i-Star dan Bintang Kecil.

Rancangan ini akan bersiaran pada setiap hari Jumaat, mulai 2 Mac 2018 pukul 9 malam di Astro Ceria, Astro Prima, Astro Maya HD dan platform digital Astro GO.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Nabil