Pelakon Siti Saleha mengakui dirinya tidak menghilang daripada industri hiburan selepas berkahwin dengan Ahmad Lutfi Azhar pada 29 Julai tahun lalu.

Menurut Saleha, sekarang merupakan masa yang sesuai untuk dia lebih memilih watak ditawarkan dalam setiap lakonan.

"Alhamdulillah, saya dah mula berlakon semula selepas berehat dalam tempoh yang panjang dan perkara itu tidak dilakukan secara drastik.

"Sebenarnya saya tidak menghilang tetapi lebih memilih kali ini.

“Setiap tawaran yang diterima saya akan nilai daripada segi watak, skrip dan pengarah itu sendiri.

"Saya tidak mahu membawa watak yang sama sahaja kerana tidak mahu orang bosan dan dalam masa sama saya mahu membawa watak yang mencabar keupayaan diri saya ini.

"Bagi saya tidak salah memilih kerana ini adalah untuk kebaikan pada sesorang pelakon itu bagi menjaga kualiti dalam lakonan," katanya kepada Astro Gempak.

Siti Saleha berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Bandar Aktiviti Seni Kuala Lumpur (BAS KL) di Galeri Seni Kebangsaan, Kuala Lumpur pada Khamis.

Pada majlis itu, Siti Saleha telah diumumkan sebagai duta BAS KL pada kali ini untuk menarik minat orang ramai untuk menerokai seni budaya yang ada di Kuala Lumpur.

BAS KL ialah kempen cuti sekolah yang ingin memberi peluang kepada keluarga dan individu yang berkelapangan untuk menikmati acara kesenian sempena cuti sekolah yang bakal berlangsung pada 17 MAc hingga 1 April tahun ini.

Sepanjang kempen BAS KL berlangsung, orang ramai yang berminat untuk meneroka kempen ini boleh mendapatkan pasport digital dengan mengimbas kod QR yang disediakan di mana-mana 14 lokasi tarikan kebudayaan yang terlibat dalam kempen tersebut.

Antara lokasi yang dimaksudkan ialah Galeri Ilham, Muzium dan Galeri Bank Negara Malaysia, R!UH dan Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur.