Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Tertuduh, Farid Kamil atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 37, yang menghadapi lima pertuduhan kes jenayah sebelum ini, sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas tuduhan membuat laporan polis palsu.

Pelakon filem Lagenda Budak Setan dan drama Lafazkan Kalimah Cintamu itu dilihat tenang di dalam kandang tertuduh dan berkata: 'saya mengaku tidak bersalah'.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mereka keterangan palsu bersabit laporan polis dengan memasukkan maklumat palsu dan tidak benar yang mana laporan itu boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan 5.54 petang pada 31 Januari lalu di Balai Polis Taman Tun Ismail, Kuala Lumpur.

Dakwaan kes itu dikemukakan mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 192 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun dan denda, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Farid tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya 10 pagi ditemani adiknya, Fadzil Zahari dan kes itu disebut 11.30 pagi.

Mahkamah membenarkan Farid diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mei depan untuk serahan dokumen.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee manakala, tertuduh diwakili Faizul Mohd Nasir.

Di dalam sidang media sebelum ini, Farid mendedahkan gambar dua lelaki yang didakwa individu sebenar meletakkan dadah dalam minumannya.

Dakwa Farid, individu sebenar yang mendatanginya pada hari kejadian adalah pengurus artis dan penyanyi yang memperkenalkan diri sebagai Taj dan Osh.

Farid turut menafikan dua artis yang tampil memberi keterangan berhubung kes dadah itu bukan individu sebenar yang digambarkannya kepada polis.

Sumber: Harian Metro