Masih ingat laporan Astro Gempak tentang video Smule Abang Bomba yang mirip suara Saleem Iklim yang pernah viral setahun lalu?

Selepas setahun, kami dapatkan semula pemilik vokal serak-serak basah, Syafiq Farhain yang semakin mencipta nama dalam industri hiburan tempatan.

Baca: Video Smule Abang Bomba Tular Di Youtube Rupanya Anak Saleem Iklim?

Genap setahun bergelar artis, Syafiq Farhain mengakui banyak yang dipelajari sepanjang tempoh itu.

Ujar Syafiq, 24, kini kehidupannya menjadi sebahagian daripada milik masyarakat dan kurang ruang privasi diri.

"Namun, ia bukan satu perkara yang negatif. Saya percaya ini resam untuk menjadi artis walaupun kemunculan saya tidak dirancang.

"Alhamdulillah, kehidupan saya tidak berubah secara total namun saya akui ruang privasi kurang berbanding kehidupan sebelum popular.

"Saya tidak pernah menyesal pun. Lagipun, saya masih bertugas sebagai anggota bomba," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman Top 5 Anugerah MeleTOP Era (AME2018) di Timbre, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun, Syafiq akui kehadirannya dalam bidang seni 'menggamit' kenalan lamanya yang pernah menghilangkan diri sebelum ini.

"Setakat ini belum pernah ada peminat 'over' yang menghantar mesej bukan-bukan di akaun media sosial saya.

"Kalau ada pun beberapa kenalan lama yang sudah terputus hubungan dan kembali mencari saya.

"Sekurang-kurangnya kemunculan saya merapatkan semula silaturrahim," katanya.

Dalam perkembangan lain, Syafiq yang popular dengan lagu Sayang Maafkan Aku itu bakal muncul dengan single terbaharu berkonsep ketuhanan tidak lama lagi.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @syafiqfarhain