Penyanyi Siti Nordiana memohon agar netizen tidak melulu membuat spekulasi berhubung kes rumah tangga penyanyi popular Ziana Zain.

Kata Siti Nordiana atau lebih dikenali sebagai Nana, Ziana kini sedang melalui situasi genting dan memerlukan ruang untuk diri dan keluarganya.

"Saya harap peminat faham dan netizen pula jangan membuat kesimpulan sesuka hati. Hanya pihak terbabit tahu apa yang berlaku.

"Lagipun, hal ini sudah menjadi kes mahkamah, jadi lebih baik kita hormati," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman Top 5 Anugerah MeleTOP Era (AME 2018) di Timbre, Kuala Lumpur semalam.

Memahami perasaan sebagai seorang ibu, Nana yang tercalon dalam kategori Penyanyi MeleTOP AME2018 itu juga memohon agar peminat mendoakan agar kemelut yang berlaku dalam keluarga Ziana diselesaikan dengan cara baik.

Suami Ziana, Armin Zaharin Ahmad Zambri semalam didakwa atas tuduhan mencederakan anak lelaki mereka, pada 25 Februari lalu.

Mengikut pertuduhan, Armin yang tidak bekerja, didakwa menyebabkan kecederaan luka dan lebam terhadap seorang anaknya dengan menggunakan rotan.

Ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Armin, 53, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Berikutan itu, Armin didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat atau dua dari mana-mana seksaan itu.

Ziana yang mencipta populariti sejak 1991 dengan rangkaian lagu dan album hit, bagaimanapun tidak hadir pada prosiding itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, laporan polis dibuat sendiri oleh penyanyi Puncak Kasih itu pada 27 Februari lalu, sebelum Armin ditahan, Jumaat lalu.

Teks oleh: Amri Hassan