Penyanyi dan komposer Imran Ajmain menyimpan hasrat untuk mencipta lagu bagi penyanyi berbakat besar, Misha Omar.

Selain menyanyi, Imran yang kini semakin dikenali menerusi single Sentiasa Merinding juga mempunyai kebolehan berkarya sebagai komposer.

Imran pernah mencipta lagu untuk penyanyi seperti Anuar Zain, Taufik Batisah, Dina Nadzir, Sleeq, Diandra Arjunaidi dan ramai lagi.

“Misha merupakan penyanyi idaman saya. Jika diberikan kesempatan dan rezeki, saya mahu bekerjasama dengan Misha dan ingin menghasilkan lagu untuknya.

“Saya menyifatkan Misha sebagai salah seorang penyanyi yang mempunyai vokal yang sangat gemersik. Alunan suara Misha seakan mempunyai magis tersendiri dan penghayatan yang diberikan juga sangat berkualiti,” kata Imran.

Sekian lama tidak muncul dengan album solo, Imran mempunyai jawapan tersendiri mengapa dia tidak muncul dengan buah tangan terbaru.

“Saya memang mahu hasilkan album, tetapi masih belum tiba masanya. Saya sudah lama tidak muncul dengan album penuh.

“Saya harus menapak semula dan ada banyak ‘kerja rumah’ yang harus saya lunaskan sebelum muncul dengan album solo.

“Buat masa sekarang, saya muncul dengan single. Selepas melancarkan lagu duet saya bersama Njwa yang berjudul Sentiasa Merinding, saya akan muncul pula dengan single solo yang bertajuk Intan dan Perak,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @theshahrulizzat dan @sukasucrestudio