Penyanyi Ziana Zain enggan mengulas lanjut mengenai kes suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri yang didakwa atas tuduhan mencederakan anak lelaki mereka pada 25 Februari lalu.

“Saya tak boleh komen lanjut sebab kes ini menjadi kes mahkamah. Perkara ini terlalu peribadi. Doakan yang terbaik,” kata Ziana ringkas.

Armin, 53, yang tidak bekerja itu didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi dan mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Armin didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat atau dua dari mana-mana seksaan itu.

Mengikut pertuduhan, Armin yang sebelum ini bertugas sebagai pramugara, didakwa menyebabkan kecederaan luka dan lebam terhadap seorang anaknya dengan menggunakan rotan.

Perbuatan itu dilakukan di kediamannya di Denai Alam, Shah Alam, pada jam 4 pagi, 25 Februari lalu.

Ziana tidak hadir ke mahkamah ketika sesi prosiding berlangsung pagi tadi.

Ketika membuat rayuan, Armin memaklumkan perbuatan itu dilakukan dengan tujuan untuk mengajar anaknya itu mengaji dan bersolat.

Raja Noor Adilla kemudian menurunkan jumlah jaminan daripada RM10,000 kepada RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, lelaki itu tidak mempunyai penjamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharif Afendi dan kes disebut semula 4 April ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, laporan polis itu dibuat sendiri oleh Ziana pada 27 Februari lalu sebelum Armin ditahan pada Jumaat lepas (2 Mac).

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Mei 1998. Hasil perkahwinan, Ziana dan Armin dikurniakan empat orang cahaya mata, Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Ziana