Pelakon berbakat besar, Bront Palarae, 40, menganggap usianya sekarang sebagai waktu yang sesuai untuk mengembangkan bakat lakonan di luar negara.

Selepas berjaya mencipta portfolio seni di Malaysia dengan lakonan berbakatnya, pemilik nama sebenar Nasrul Suhaimin Saifuddin ini mula menarik minat penggemar sinema Indonesia dan Bront juga mula terlibat dengan projek lakonan di Filipina.

“Alhamdulillah, saya bersyukur lakonan saya kini semakin mendapat perhatian di luar negara. Saya rasakan sekarang merupakan waktu yang sesuai.

“Jika saya mengembangkan bakat di luar negara pada usia yang muda, mungkin saya tak mempunyai pendedahan dan ilmu yang cukup mengenai cara kerja dan budaya mereka,” kata Bront.

Tambah Bront, dia juga membawa nama Malaysia apabila bekerja di negara orang.

“Bekerja di luar negara bukan penamat untuk saya. Banyak lagi perkara yang saya harus terokai.

“Secara tidak langsung, saya membawa nama Malaysia dan mereka melihat cara kerja pelakon tempatan.

“Saya bersedia memberikan komitmen terbaik dalam setiap projek yang saya lakukan dan mahu memberikan kualiti dalam setiap watak yang saya bawakan,” katanya lagi.

Selepas popular dengan watak Bapak dalam filem popular Indonesia, Pengabdi Setan, aksi Bront dalam filem seram kini boleh ditonton dalam siri "Doors: A Philippines Horror Anthology" yang disiarkan di Boo (saluran 404).

Siri Doors memaparkan 13 filem seram menarik Filipina dan Bront membintangi filem Daddy's Home karya Bradley Liew.

Untuk jadual tayangan filem Daddy's Home dan filem-filem lain, layari WATSON

Teks oleh: Kamaruddin Razal