Pelakon Indonesia, Baim Wong, mengakui telah berpisah dengan kekasihnya, Vebby Palwinta.

Menurusi laporan Kapan Lagi, Baim memberitahu dia bersedia untuk mencari pengganti kekasihnya itu dalam masa terdekat ini memandangkan usianya kini sudah 36 tahun.

"Hubungan kami sudah seperti adik beradik namun kami mengambil keputusan untuk berpisah kerana itu merupakan jalan terbaik bagi saya dan Vebby.

"Kami berpisah secara baik dan masih berhubung serta keluar makan bersama namun sebagai kawan sahaja," katanya.

Tambah Baim, dia masih ingin meneruskan rancangannya untuk berkahwin pada tahun ini dan bersedia mencari pengganti dalam masa terdekat.

"Saya sebenarnya malas untuk memulakan semula proses pengenalan di peringkat awal namun jika bertemu seseorang yang sesuai dalam masa terdekat, saya tidak menolak berkahwin pada tahun ini.

"Kawan-kawan juga ada memperkenalkan saya kepada rakan mereka namun saya serahkan segalanya kepada tuhan supaya segalanya akan dipermudahkan," ujarnya.

Sebelum ini, Baim telah membawa Vebby Palwinta berjumpa keluarganya supaya mereka dapat mengenali di antara satu sama lain.

Sumber: Kapan Lagi