Anggota kumpulan Ruffedge, Cat Farish, menjelaskan kemunculan semula kumpulan tersebut disebabkan idea yang disuarakan oleh Amer pada 2016.

Menurut Cat, mereka mengambil masa selama dua tahun untuk membentuk semula kumpulan Ruffedge disebabkan kekangan masa daripada anggota yang lain.

"Sebenarnya idea ini datang daripada Amer yang dia inginkan kami bergabung semula setelah hampir 11 tahun semua membawa haluan masing-masing.

"Sejak daripada itu kami merancang semula perjalanan karier dan memilih lagu yang sesuai untuk dihasilkan dengan pasaran sekarang.

"Alhamdulillah setelah dua tahun merancang kami akhirnya berjaya melaksanakannya pada tahun ini.

"Selain itu juga, kami ada perancangan untuk mengadakan sebuah konsert pengenalan kepada peminat-peminat setia yang merindukan Ruffedge," katanya kepada Astro Gempak.

Cat berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Raikan Hari Lahir Boboiboy di Pejabat Kemajuan Negeri Perak, Oasis Ara Damansara, Petaling Jaya, pada Selasa.

Tambah Cat, Ruffedge akan tampil dengan single baharu pada penghujung bulan Mac depan.

Dalam pada itu, Ruffedge akan membuat persembahan pertama secara umum sempena meraikan hari jadi animasi bersiri popular Boboiboy di Movie Animation Park Studios (MAPS) Ipoh, Perak pada 17 Mac depan.

Sepanjang cuti sekolah bermula dari 17 hingga 25 Mac depan pelbagai aktiviti menarik telah diaturkan oleh MAPS untuk para pengunjung selain persembahan daripada artis terkenal, Ruffedge, Bunkface, Altimet, Joe Flizzow dan Sonaone.