Pereka fesyen tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim menyelar golongan selebriti yang mengeluarkan jenama sendiri tanpa ilmu pengetahuan yang lengkap dalam bidang fesyen.

Kata Rizalman, dia kurang bersetuju dengan individu yang hanya 'tangkap muat' terjun ke bidang perniagaan pakaian dan fesyen demi mengaut untung semata-mata.

"Fesyen adalah satu industri yang serius dan dipandang tinggi, jadi bagi segelintir artis yang kurang tawaran berlakon atau jualan album tidak memberangsangkan, kemudian cuba untuk menjual baju.

"Tolonglah jangan! Selagi saya masih hidup dan ada dalam industri ini, jangan pernah berani.

"Jangan perkosa industri fesyen sebab fesyenlah yang boleh membina tamadun, mengubah ekonomi negara, mengubah watak seseorang individu dan memberikan pelbagai jaminan dalam aspek kehidupan manusia.

"Oleh kerana itulah, adanya program seperti Gen F yang akan memaparkan betapa sukar dan ada banyak kriteria untuk menjadi seorang pereka fesyen," katanya kepada Astro Gempak.

Rizalman ditemui pada majlis pelancaran rancangan realiti pencarian bakat pelapis pereka fesyen, Gen F di Hartamas, Kuala Lumpur semalam.

Menerusi rancangan Gen F, Rizalman bertindak sebagai juri tetap bersama usahawan fesyen terkenal Vivy Yusof.

Sebanyak 10 jenama fesyen bakal bersaing untuk gelaran Juara Gen F yang akan membawa pulang wang tunai RM100,000 dan berpeluang mengeluarkan koleksi kapsul sendiri.

10 jenama tersebut ialah Kahou, Lolo, HN, Wan & Mary, Calaqisya, Jubahsouq, Ridzuan Alias, Larf, Seth & Luna dan Clothesology.

Gen F akan bersiaran selama lapan minggu setiap hari Ahad, 9 malam bermula 11 Mac 2018 di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @rizalman71