Pengacara Neelofa tidak mengambil peduli kritikan orang ramai tentang pemilihan lokasi majlis pelancaran koleksi hijab terbaru serta sambutan hari jadinya yang berlangsung malam tadi.

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 29, melancarkan koleksi hijab terbaru yang diberi nama Be Lofa serta menyambut ulang tahun ke-29 di kelab hiburan Zouk, Kuala Lumpur.

Pemilihan Zouk sebagai tempat majlis menjadi isu di kalangan netizen yang mendakwa lokasi tersebut tidak sesuai untuk acara pelancaran koleksi hijab serta bercanggah dengan status Neelofa yang sudah bergelar ‘hajjah’.

“Pemilihan lokasi ini dibuat selepas menyenarai pendek beberapa tempat lain. Ia dipilih mengikut tema ‘neon’ yang cuba diketengahkan dalam majlis dan tempat ini juga sudah lengkap dengan kemudahan skrin LED serta sistem pencahayaan yang canggih.

“Jika acara ini dilakukan di tempat lain, bajet yang harus dikeluarkan bertambah lapan kali ganda daripada bajet asal. Saya tahu ada netizen mengecam tetapi saya ambil keputusan untuk tidak mengambil pusing,” kata Neelofa.

Tambah pengacara program MeleTOP ini, dia enggan melayan lagi kecaman yang dilemparkan kepadanya.

“Saya tak kisah kecaman orang kerana jika saya terus melayan kata-kata negatif, sampai bila ia akan tamat? Saya takkan pernah dapat memuaskan hati semua orang.

“Jadi, saya sudah mengambil keputusan untuk tidak peduli kritikan menjatuhkan berhubung apa jua perkara. Apa yang penting, saya tahu apa yang saya lakukan dan saya tahu batas saya,” katanya lagi.

Koleksi Be Lofa yang dilancarkannya terdiri daripada rangkaian selendang dan turban yang terdapat dalam pelbagai warna.

Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan artis rap terkenal, SonaOne dan pengacara Daphne Iking bertindak sebagai peneraju majlis.

Antara rakan selebriti yang turut hadir memeriahkan majlis malam tadi adalah Azira Shafinaz, Adriana Adnan, Nina Nadira dan ramai lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Neelofa dan @stail.my