Penyanyi Wany Hasrita mengakui tiada masalah untuk berduet dengan mana-mana penyanyi lelaki lain untuk single terbaharunya selepas ini.

Wani atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 24, berkata, dia memilih untuk bersikap profesional dan menjadikan gandingan tersebut diterima ramai.

"Saya tidak mempunyai apa-apa masalah jika berduet dengan mana-mana penyanyi lelaki lain asalkan lagu tersebut dapat diterima oleh pendengar.

"Bagi saya soal kerja harus profesional dan melakukan sebaik mungkin kerana tak salah untuk mencuba sesuatu yang baru.

"Jika kita ikhlas melakukan sesuatu perkara itu, InsyaAllah orang ramai akan terima karya tersebut.

"Saya juga sering mendapat tawaran mengadakan persembahan dan perlu berduet dengan ramai artis lain jadi perkara itu bukan masalah bagi saya," katanya kepada Astro Gempak.

Dalam perkembangan lain, Wany berkata dia akan muncul dengan single baru berjudul Ewah-Ewah hasil ciptaan komposer Pak Ngah.