Penyanyi Azhar Osman mengakui dirinya gembira dengan kejayaan bekas teman duonya, Hael Husaini yang berjaya meraih tempat pertama dalam Anugerah Juara Lagu 32 (AJL 32).

Azhar yang pernah menganggotai kumpulan Azhael bersama Hael sudah menjangkakan kemenangan sahabatnya.

“Ketika dia mula berjaya menjejakkan kaki ke peringkat akhir AJL 32, saya sudah boleh agak, pastinya lagu Jampi akan bergelar juara.

“Lagu tersebut mempunyai aura tersendiri dan mempunyai melodi tersendiri. Jampi memang berbeza berbanding lagu-lagu yang ada.

“Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada Hael dan apa yang saya jangkakan menjadi kenyataan. Sejujurnya, sebagai seorang sahabat, saya tumpang gembira dengan kejayaan yang diraih olehnya,” kata Azhar yang ditemui di majlis resepsi perkahwinan Fizi Ali dan Shakilla Khoriri malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Azhar kini sedang giat menceburi bidang lakonan dan turut menerima tawaran dari sebuah syarikat rakaman.

“Alhamdulillah, rezeki lakonan datang dahulu dan saya menerimanya dengan hati terbuka.

“Buat masa ini, saya ada menerima satu tawaran untuk mengikat kontrak bersama sebuah syarikat rakaman tetapi semuanya masih berada di peringkat perbincangan,” kata Azhar lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal