Semalam, ibu kepada pelakon Elfira Loy, Filzah Yusof mengesahkan ikatan pertunangan anaknya dengan penyanyi Sufian Suhaimi sudah berakhir.

Biarpun tiada kenyataan yang dikeluarkan mereka di laman sosial masing-masing mengenai isu tersebut, netizen membanjiri ruangan komen laman Instagram Elfira dan Sufian.

Namun begitu, Sufian ada memuat naik paparan skrin perbualan WhatsApp dan Twitter yang dihantarkan oleh tiga orang rakan selebriti, Aiman Tino, Sharnaaz Ahmad dan Heliza Helmi di ruangan Instagram Stories miliknya.







Sharnaaz, Aiman dan Heliza memberikan sokongan kepada penyanyi lagu Terasa Ada itu serta berharap agar Sufian bersabar kerana semua perkara yang terjadi ada hikmah.

Elfira dan Sufian bertunang pada 6 Oktober 2017 dan mengikut perancangan, mereka bakal bernikah awal bulan depan.

Hubungan Elfira dan Sufian didakwa berantakan semenjak hujung tahun lalu apabila mereka tidak lagi memuat naik foto bersama di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal