"Kerjaya Seni Berjalan Seperti Biasa" - Datuk Farid Kamil

14 Februari 2018. 12.25 AM
9,675
Hiburan

Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil bersyukur perjalanan seninya kini berjalan seperti biasa selepas melalui detik kontroversi yang menghambat dirinya.

Farid muncul sebagai tetamu dalam program MeleTOP di Astro Ria untuk mempromosikan drama bersiri Lafazkan Kalimah Cintamu malam tadi.

Ini merupakan kemunculan sulung Farid di kaca televisyen selepas melalui episod hitam yang berlaku bulan lalu.

"Saya masih dapat berjalan hari ini (menghadiri program MeleTOP) dan saya rasa sangat bersyukur.

"Alhamdulillah, kes yang melibatkan saya masih berada dalam siasatan pihak polis. Setakat ini, semuanya okay sahaja," katanya yang ditemui usai siaran langsung program tersebut.

Ketika ditemubual oleh Datuk Awie dan Erra Fazira yang bertindak selaku pengacara jemputan MeleTOP, Farid berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan kepada dirinya.

“Syukur Alhamdulillah, pengalaman dihambat kontroversi menjadi sebuah kenangan yang tak boleh dijual dibeli. Saya kembali mengenali diri saya, semenjak kecil sehingga dewasa.

“Saya berterima kasih kerana menerima sokongan ramai pihak. Semangat yang diberikan oleh keluarga, teman-teman, rakan seperjuangan dalam bidang hiburan serta peminat menjadi kekuatan saya untuk menghadapi dugaan,” katanya lagi.

Drama bersiri Lafazkan Kalimah Cintamu lakonan Farid, Nelydia Senrose, Adriana Adnan, Azri Iskandar, Adibah Noor dan ramai lagi ini bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria dan Astro Ria HD.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Amir Hafiz

 

Artikel Berkaitan