Pelakon Datuk Rosyam Nor akur dengan kesibukan bekas pemain badminton lagenda negara, Datuk Misbun Sidek sehingga menyebabkan mereka sukar untuk berjumpa sebelum menghidupkan watak dalam filem Lee Chong Wei.

Menurut Rosyam, dia tidak menggangap perkara itu sebagai masalah sebaliknya membuat kajian sendiri melalui video untuk mendalami karakter sebenar Misbun.

"Saya ada cuba untuk bertemu secara individu dengan Misbun namun disebabkan kesibukan menyebabkan kami tidak dapat bertemu.

"Saya sendiri faham dengan komitmen Misbun pada anak-anak didiknya untuk menghadapi beberapa perlawanan penting.

"Jadi perkara itu tidak menjadi halangan untuk saya terus menghidupkan watak Misbun dalam filem ini.

"Mujur sekarang ada pelbagai teknologi dan saya gunakan internet untuk mengkaji perwatakan Misbun dari segi percakapan termasuk semua pergerakannya," katanya kepada Astro Gempak.

Rosyam Nor berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran trailer kedua filem biografi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, di Quill City Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada majlis itu, penyanyi Nabila Razali dan bintang sensasi YouTube kelahiran Sarawak, Priscilla Abby diberi penghormatan menyanyikan lagu tema filem biografi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bertajuk Cahaya Juara.

Filem arahan Teng Bee yang berkisar mengenai kehidupan awal Chong Wei yang penuh liku untuk muncul sebagai pemain badminton nombor satu dunia bakal menemui penonton di pawagam tempatan bermula 15 Mac ini.

Sementara itu, peminat badminton berpeluang menjadi orang pertama menonton versi tambahan filem berdurasi 133 minit itu pada sesi tayangan istimewa di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 9 Mac ini.

Filem Lee Chong Wei membariskan pelakon seperti Tosh Chan, Datuk Rosyam Nor, selain pelakon Singapura Mark Lee, Yeo Yann Yann dan Ashley.