Dek cemuhan melampau netizen, penyanyi wanita kacukan Perancis-Syria, Mennel Ibtissem menarik diri dari rancangan realiti antarabangsa, The Voice.

Sebelum ini, Mennel, 22, telah dicemuh oleh netizen selepas beberapa status di Twitternya pada dua tahun lalu dikaitkan seolah-olah dia menyokong keganasan.

Peserta berhijab pertama itu telah mengumumkan penarikan dirinya dari The Voice menerusi laman media sosialnya di Facebook.

“Saya ada mesej penting untuk kalian semua. Sebagai seorang penyanyi, tujuan saya menyertai rancangan realiti The Voice bagi menyatukan orang ramai, bukan memecah belahkan, juga membuka minda, bukan menjadikan mereka jumud.

“Saya percaya dengan nilai kemanusian dan kebaikan manusia. Saya percaya juga masa depan kita harus dibina dengan cinta, keamanan dan toleransi. Malah, saya percaya dengan rakyat di negara ini.

“Semenjak beberapa hari lalu, saya terpaksa mengharungi saat getir apabila saya menerima terlalu banyak tumpuan dan cemuhan orang ramai.

“Saya tidak pernah ada niat untuk menyakiti sesiapa malah tujuan dan mesej saya telah disalah anggap sehingga menyakitkan diri saya dengan begitu dahsyat.

“Oleh yang demikian, hari ini saya memutuskan untuk tarik penyertaan saya dari rancangan itu (The Voice),” luah Mennel.


Walau bagaimanapun, Mennel memilih terus positif kerana menganggap keputusan yang dilakukan merupakan peluang dan batu loncatan untuk terus membina karier nyanyian selepas ini.

“Keputusan ini merupakan sebuah permulaan untuk saya membina karier muzik saya dan menggangap ini juga adalah satu kejayaan. Saya akan terus memanfaatkan peluang yang ada untuk terus sebarkan mesej dan niat sebenar saya.

“Saya akan teguh berdiri dengan senyuman dan saya tidak akan biarkan ketakutan menguasai diri saya,” ujar Mennel.

Berikut merupakan persembahan memukau Mennel sepanjang rancangan The Voice.



Sumber: Astro Awani, The National, Breitbart, Facebook