Pelakon Rosyam Nor mengakui sebagai aktor senior dia harus memberi peluang kepada pelakon-pelakon baru yang sedang meningkat naik untuk menonjolkan bakat mereka pada orang ramai.

Menurut Rosyam, walupun sering bergandingan dengan pelakon muda, dia akan cuba meletakkan dirinya sebaris dengan pelakon baharu agar lakonannya tidak kelihatan begitu menyerlah.

“Sebagai orang lama dalam industri saya faham bukan mudah untuk seorang artis itu menempa nama dalam bidang ini.

“Jadi mereka harus diberi peluang mengetengahkan bakat yang ada dan sebagai seorang pelakon senior saya masih tidak kejam untuk over shadow lakonan mereka ini.

“Saya akan letakkan diri ini sama dengan mereka supaya dengan itu lakonan mereka akan ketihatan lebih menyerlah sebagai watak utama.

“Dari situ juga mudah untuk para pelakon mendapatkan keserasian untuk menghidupkan watak yang diberikan,” katanya kepada Astro Gempak.

Rosyam Nor berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran trailer kedua filem biografi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, di Quill City Mall, Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Pada majlis itu, penyanyi Nabila Razali dan bintang sensasi YouTube kelahiran Sarawak, Priscilla Abby diberi penghormatan menyanyikan lagu tema filem biografi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bertajuk Cahaya Juara.

Filem arahan Teng Bee yang berkisar mengenai kehidupan awal Chong Wei yang penuh liku untuk muncul sebagai pemain badminton nombor satu dunia bakal menemui penonton di pawagam tempatan bermula 15 Mac ini.

Sementara itu, peminat badminton berpeluang menjadi orang pertama menonton versi tambahan filem berdurasi 133 minit itu pada sesi tayangan istimewa di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 9 Mac ini.

Filem Lee Chong Wei membariskan pelakon seperti Tosh Chan, Datuk Rosyam Nor, selain pelakon Singapura Mark Lee, Yeo Yann Yann dan Ashley.