Polis memberi tempoh 24 jam kepada dua individu supaya tampil untuk memberi keterangan berkaitan laporan polis yang dibuat pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil sebelum ini.

Dua individu berusia lingkungan 40-an itu masing-masing seorang ahli kumpulan R&B dan seorang penggiat seni tanah air.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, mereka yang sudah dihubungi pihaknya bagi memberi keterangan masih gagal menghadirkan diri sehingga kini.

"Kita sudah berhubung dengan kedua-dua mereka iaitu seorang berada di Johor, manakala seorang lagi tidak dikenal pasti lokasinya.

"Polis akan menyiarkan gambar mereka sekiranya masih tidak memberi kerjasama hadir membantu siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri Selangor.

Pelakon filem KL Gangster, Sofi Jikan sebelum ini direman tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan selepas didapati positif dadah jenis ganja ketika tampil memberikan keterangan

Sofi, 48, ditahan di Balai Polis Mutiara Damansara, jam 11 malam Selasa lalu.

Pelakon itu antara tiga individu yang diminta hadir memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat Farid pada 31 Januari lalu.

Dia yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya kelmarin mendapat perintah tahanan reman sehingga esok.

Sumber: Harian Metro