Penyanyi Amira Othman mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan disebabkan mahu fokus pada karier nyanyian dulu.

Menurut Amira, 25, dia kini sedang sibuk mengadakan promosi untuk single terbaharu, Mimpi Indah.

"Buat masa sekarang saya belum bersedia untuk kembali ke set penggambaran memandangkan saya kini sedang sibuk dengan single baharu.

"Tawaran masih ada tetapi saya terpaksa untuk menolaknya buat masa sekarang.

"Mungkin selepas Aidilfitri baru saya ada masa untuk kembali aktif berlakon semula memandangkan lakonan merupakan bidang yang saya minat.

"Jadi saya harus membahagikan masa dengan sebaik mungkin dalam bidang nyanyian dan lakonan kerana kedua-duanya itu memerlukan saya untuk memberi fokus sepenuhnya," katanya kepada AStro Gempak.

Amira berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu bertajuk Mimpi Indah di Flora Terrace, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Mimpi Indah merupakan lagu ciptaan Hael Husaini dan diterbitkan oleh Edry Abdul Halim.

Bercerita lanjut mengenai Mimpi Indah, Amira berkata lagu itu dapat menggambarkan perasaan seseorang yang dilamun cinta atau merindui kekasihnya.